Hiking dan kembara hidup
Pada beberapa hari yang lepas, penulis telah menyertai satu program hiking, yang mana pengalaman tersebut adalah yang pertama buat penulis. Oleh kerana aktiviti tersebut adalah baru bagi penulis, banyak perkara yang telah penulis pelajari dan masih perlu pelajari.
Aktiviti tersebut telah disertai beberapa candidate yang lain seramai hampir 30 orang (dibahagi kepada 4 kumpulan). Tepat pada waktu yang telah dirancang, aktiviti tersebut dimulakan dengan bacaan doa oleh penulis sendiri. First time baca doa sebelum masuk hutan, barulah penulis tahu doanya bukan dengan menadah tangan, tapi dengan menekapkan tangan ke atas tanah. Setelah selesai berdoa, para peserta bergegas mengambil beg-beg dan keperluan masing-masing lalu bermulalah aktiviti hiking yang dinanti-nanti.
Destinasi yang dituju adalah air terjun yang terletak agak-agak di puncak gunung. Dengan diketuai oleh urusetia, para peserta bergerak mengikut jalan yang telah ditetapkan. Keadaan muka bumi yang tidak menentu menyebabkan penulis adakala bergerak rapat dengan peserta yang lain dan adakalanya bergerak terjauh sedikit. Keadaan muka buminya ada yang curam, licin, tanah lembik, bersemak samun, dan ada juga yang rata, lapang, landai, dan keras.
Penulis dapati, apabila penulis atau peserta lain bergerak terlalu rapat dengan peserta yang lain, setiap langkah kami akan mengikut setiap jejak peserta yang berada dekat di hadapan kami. Andai kata peserta di hadapan terpijak tanah lembik, peserta yang di belakangnya juga turut sama. Namun, apabila penulis atau peserta lain bergerak agak berjauhan dengan peserta di hadapan, setiap langkah yang dibuat ditentukan oleh kami sendiri. Andai kata peserta di hadapan terpijak tanah lembik, kami sempat lagi mencari tapak lain untuk dipijak.
Dalam perjalanan itu, ramai antara kami telah diserang oleh makhluk yang dahagakan darah. Atau lebih dikenali sebagai pacat. Oleh kerana pengalaman pertama dihisap pacat, terdapat peserta yang terus mencabutnya dengan paksa. Akibatnya, darah mengalir keluar perlahan-lahan tidak henti-henti sepanjang perjalanan itu. Penulis juga tidak terlepas daripada diserang, tetapi penulis memilih untuk menderma darah kepada pacat-pacat tersebut. Atas nasihat mereka yang lebih berpengalaman, penulis membiarkan sahaja pacat tersebut melekap di kaki penulis. (Dikatakan pacat ini sebenarnya menghisap darah kotor dalam badan kita.)
Selepas hampir satu jam perjalanan, para peserta tiba di suatu kawasan yang agak lapang dan dibenarkan berehat. Kemudian, urusetia pun mengadakan cabaran yang seterusnya (mencipta stretcher/tandu daripada kayu). Cabaran tersebut di carry sepanjang perjalanan yang seterusnya. Kini, dua bebanan terpaksa kami hadapi dalam satu masa iaitu mendaki gunung sambil membawa rakan kumpulan kami (ada 4 kumpulan semuanya) di atas stretcher/ tandu tadi. Ternyata, kembara menjadi semakin sukar. Namun, atas strategi dan kerjasama antara ahli kumpulan, segala halangan (naik turun bukit, jalan sempit) dapat kami tempuhi dengan jayanya.
Akhirnya, kami sampai jua ke destinasi yang dituju. Cantik sungguh kawasan air terjun tersebut. Kami pun menghilangkan kepenatan dengan menikmati kesejukan air yang tak terkata (menggeletar mulut tak leh nak cakap apa-apa la) dan meneruskan aktiviti lain yang seterusnya di situ.
Program dan aktiviti ini tidaklah penulis ceritakan secara detail kerana penulis sebenarnya ingin menghighlightkan pengembaraan tersebut dengan kembara hidup kita.
=Peserta hampir 30 orang=
Sedar atau tidak, kita mengharungi perjalanan hidup ini bukanlah bersendirian. Mustahil untuk kita menempuhnya bersendirian dan Allah pun telah menciptakan kita daripada pelbagai jenis, kaum, dan bangsa dengan tujuan supaya kita dapat berkenal-kenalan.
=Doa, beg, dan barang keperluan=
Sejak lahir lagi kita telah dididik dan dibekalkan dengan ilmu-ilmu (yang kita pelajari) bagi menghadapi kehidupan masa akan datang yang penuh liku. Tanpa ilmu, kelengkapan lain, dan doa, kita akan tewas dengan mudahnya hanyut dengan arus zaman. Buktinya, tengoklah belia-belia masa kini, rosak, mencemarkan maruah bangsa dan Negara, lebih memalukan lagi membabitkan agama.
=Destinasi air terjun, diketuai urusetia=
Masing-masing daripada kita, sudah pasti ingin menuju syurga yang Allah janjikan. Allah telah mengutuskan rasulNya dan menunjukkan jalan yang sepatutnya kita lalui bagi mendapatkan syurga tersebut iaitu dengan berpegang pada al-Quran dan as-Sunnah. Nabi sudah menjamin dari dahulu lagi bahawa barangsiapa yang berpegang pada dua perkara tersebut tidak akan sesat selamanya.
=Keadaan muka bumi tak menentu=
Seperti yang kita sedia maklum, perjalanan hidup kita penuh dengan onak dan duri, berliku-liku. Juga dikatakan bagai roda, adakala kita di atas, adakala kita di bawah. Kita tidak boleh lari daripada kenyataan ini. Dengan kita memahami fitrah ini, segala yang bakal kita tempuhi tidak akan menjadi suatu tekanan yang amat membebankan. Allah adalah penentu segalanya dan kita hanya perlu berusaha.
=Jejak peserta=
Dalam kehidupan ini, adakala kita berada dalam pimpinan dan adakala kita hanya sebagai pendokong/ pengikut. Apabila kita menjadi pemimpin, harus kita awasi setiap keputusan, tingkah laku, dan kata-kata kerana ianya akan diikut dan dipegang oleh mereka yang dipimpin. Andai keterlanjuran kita diikut oleh orang-orang di bawah kita, maka sahamnya akan kita peroleh jua di akhirat nanti. Dan apabila kita jadi pengikut, seharusnya kita tahu untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Tidaklah kita mengikut membabi buta.
=Pacat=
Banyak perkara yang kita sangka dan tidak kita sangka akan kita peroleh. Mungkin ada yang bukan kehendak kita. Namun, sesungguhnya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. Mungkin apa yang kita rasakan buruk sebenarnya baik bagi kita, dan begitu juga sebaliknya. Ketahuilah bahawa setiap kejadian itu ada hikmahnya. Tempuhlah kehidupan ini dengan sifat-sifat mahmudah seperti sabar dan berani.
=Rehat dan cabaran seterusnya=
Kita selalu leka dengan nikmat sihat dan lapang. Tanpa kita sedar, dalam kedua nikmat itu Allah telah sediakan bermacam-macam ujian dan dugaan untuk kita tempuh. Maka, masa yang ada usahlah dibiarkan berlalu begitu sahaja. Persiapkanlah diri kita agar tidak kecundang di masa hadapan.
=Memikul stretcher/tandu sepanjang perjalanan=
Andai kita fikir-fikirkan, ada ujian, dugaan, atau masalah dalam kehidupan kita yang perlu kita hadapi dalam suatu tempoh masa yang panjang. Dan ada juga masalah-masalah yang akan kita hadapi banyak dalam satu masa. Andai kita memilih untuk hidup bersendirian, maka kita telah memilih untuk gagal. Kita dituntut untuk berada dalam jemaah dan seharusnya kita hadapi hidup ini bersama-sama dengan yang lain. Kita pun sedia maklum, dengan tenaga, buah fikiran, dan orang yang lebih ramai, berserta dengan kerjasama dan strategi yang baik, segala urusan dapat ditangani dengan mudah.
=Air terjun=
Akhirnya, setelah hidup ini kita lalui dengan jayanya, mengikut segala suruhan dan meninggalkan laranganNya, mematuhi syariat-syariatNya, memenuhi tanggungjawab-tanggungjawab kita, dan lain-lain, ganjarannya akan kita rasai. Syurga yang nan jauh lebih indah itu langsung akan membalas segala apa yang telah kita tempuh di dunia ini. Betapa berbaloinya tidak terkira apabila destinasi yang kita tuju ini telah kita sampai..
Semoga penulis dan pembaca akan terus ingat sunnah-sunnah kehidupan ini dan dapat menempuhnya mengikut kehendak Pengaturnya agar di akhir nanti syurga yang diidam-idamkan dapat dirasai. Amen..
Wallahu a’lam..