Wednesday, June 24, 2009
motivasi diri
MEMILIKI kereta Jaguar S-Type berharga setengah juta ringgit, kondominium berharga RM600,000 dan pendapatan mencecah enam angka sebulan dalam usia baru mencecah 23 tahun pastinya sesuatu amat mengagumkan.
Walaupun ia nampak mustahil, tetapi Mahadi Badrul Zaman berjaya membuktikan tidak ada yang mustahil jika ada kemahuan. Dia bukanlah anak orang berada atau ternama, sebaliknya semua itu diperoleh hasil titik peluhnya sendiri.
Bertugas sebagai perunding saham amanah di SBB Mutual Berhad, dia membuktikan kejayaannya hari ini adalah hasil kerja keras dan sikap beraninya menceburi bidang yang kebanyakan orang takut mencubanya.
Menceritakan pengalaman awal terbabit dalam bidang berkenaan, Mahadi berkata, minat itu timbul selepas diperkenalkan rakannya, Aida Nurlin pada April 2004.
“Sewaktu berjumpa Aida dan rakan sekerjanya, saya tidak percaya kerana dalam usia awal 20-an, mereka mampu membeli kereta mewah seperti BMW dan Mercedez-Benz. Saya pula ketika itu baru saja tamat menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat swasta,” kata Mahadi, graduan Sains Aktuari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Katanya, selepas menamatkan pengajian dia nekad menyertai bidang terbabit dan hasil tunjuk ajar serta galakan Aida, dia mula memahami selok belok saham amanah yang langsung tiada di fikirannya pada masa itu.
“Bagi saya setiap pekerjaan mempunyai cabaran sendiri. Apa yang perlu ialah jangan gentar dan terus ke depan serta sentiasa bersikap positif. Jika orang lain boleh buat, kenapa kita tidak?,” katanya penuh yakin.
Sehubungan itu, Mahadi mahu berkongsi kejayaannya dengan menganjurkan seminar ‘Dare To Transform Life’ di pejabatnya di Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur yang bermula Januari lalu.
“Tujuannya untuk menggalakkan lebih ramai anak muda menyertai bidang ini. Sejak artikel mengenai saya tersiar di beberapa akhbar, saya mendapat banyak maklum balas yang berminat menceburi bidang ini.
“Dalam seminar itu kami memberi tumpuan kepada peserta mengenai persediaan dan selok belok saham amanah,” katanya.
Seminar selama tiga hari itu dikendalikan sendiri Mahadi bersama Aida. Dia turut memberi ceramah mengenai rahsia kejayaannya serta strategi dalam bidang saham amanah. Peserta juga akan menjalani sesi ‘brain wash’ untuk mengukuhkan persepsi mengenai kebaikan bekerja sendiri.
Selain itu, peserta ditekankan dengan kekuatan mental supaya dapat menangkis pandangan negatif sesetengah orang yang sering memandang rendah keupayaan mereka menyertai bidang saham amanah.
“Saya berani katakan anda tidak akan bosan apabila menyertai seminar itu. Ia bukan sekadar ceramah, tetapi dipenuhi pelbagai aktiviti seperti ‘role play’, tayangan filem berkaitan, nyanyian dan perbincangan. Dalam erti kata lain, ia tidak formal,” katanya.
Disebabkan sambutannya yang cukup menggalakkan sejak sesi pertama Januari, seminar itu dilanjutkan sehingga Jun depan.
“Saya hanya meletakkan sasaran kurang dari 100 peserta saja, tapi yang mendaftar lebih daripada itu. Kami hanya mengambil 16 peserta saja untuk setiap sesi supaya lebih fokus. Kebanyakan peserta pula berusia lebih daripada 25 tahun,” katanya
I LOVE MY BLOG9:20 PM